Tuesday 8 December 2015

Tips Dan Soalan Penting Temuduga Kerja Kerajaan

Bila sebut pasal kerja kerajaan, ramai orang yang kagum. Terutamanya dikalangan warga tua. Saya pun pelik juga. ^_^.. Ni termasuklah orang tua saya sendiri. Kerja kerajaan merupakan satu kebanggaan. Masa depan terjaminlah katakan. Nak buat pinjaman pun lebih mudah. Interest lebih rendah berbanding pekerja swasta. Pendek kata semua urusan jadi lebih lancar.

Pahit manis serta gentar menghadapi sesi temuduga kerja kerajaan, saya dah lalui. Namun ia amat berbaloi kerana saya berjaya juga walaupun baru kali pertama menghadiri temuduga. Begitu juga dengan abang saya, berjaya pada temuduga pada kali pertama.  En.Suami juga adalah seorang penjawat awam, beliau berjaya setelah beberapa kali menghadapi temuduga kerja kerajaan.

Sebelum memulakan penulisan artikel ini, saya banyak bertanya pengalaman dan soalan dari en.suami dan abang saya. Saya himpunkan tips penting ini khas buat pembaca yang memerlukan panduan..

Pakaian Formal

Ini adalah asas ya ; sebab ketika anda melangkah masuk ke bilik penemuduga, mereka akan melihat wajah anda, pakaian dan kasut anda.

Tips untuk calon lelaki : Sebaik-baiknya gunakan baju kemeja panjang dan gunakan tali leher kerana ia nampak lebih kemas dan segak. Jangan lupa iron baju okay. Gunakan seluar slack hitam serta kasut yang berwarna hitam. Pastikan rambut dipotong pendek, kemas dan berwarna hitam semasa sesi temuduga.

Tips untuk calon wanita : Ketika saya menghadiri temuduga, tak kurang juga calon wanita yang berhias bak pengantin. Ho ho... sarat dengan manik dan hiasan. Elak make up berlebihan. Cukup sekadar make up mudah agar anda nampak segar dan tidak kelihatan pucat semasa sesi temuduga. Mengenakan baju kurung sudah menjadi pilihan yang bijak buat calon. Berbanding sandal, saya lebih galakkan anda menggunakan kasut bekerja yang formal untuk wanita. Bagi wanita yang tidak mengenakan tudung, pastikan rambut berwarna hitam.

Keyakinan 

Keyakinan amat diperlukan sepanjang sesi temuduga. Berjalanlah dengan yakin dan tegak ketika anda masuk ke ruang temuduga. Jangan lupa senyum dan ucap selamat pagi atau tengahari pada penemuduga. Duduk hanya setelah dipelawa. Ingat ! Anda sekarang berada di 'rumah' mereka. Jangan membongkok ketika duduk. Duduk dengan tegak. Cara anda duduk menunjukkan tahap keberanian dan keyakinan anda. Letak kedua-dua tangan atas paha. Bina 'eye to eye contact' dengan penemuduga. Fokus pada soalan mereka. Elakkan mata anda dari meliar-liar ke tempat lain. Ini menunjukkan anda tidak serius untuk sesi ini.

Dokumen 

Pastikan anda sediakan dokumen penting serta salinan-salinan yang perlu. Dapatkan pengesahan dokumen yang perlu. Bagi saya kekuatan temuduga tidak terletak pada betapa hebatnya resume anda. Tetapi ia terletak bagaimana anda menghadapi sesi temuduga anda. Resume berbahasa Inggeris yang mengalahkan level seorang profesor pun tak guna juga jika anda gagap menjawab soalan penemuduga dalam BI. Sediakan fail yang senang dilihat penemuduga.

Isu semasa

Selain dua perkara di atas, anda hanya perlu fokus pada soalan dari penemuduga. Ada antara soalan mereka adalah soalan bonus dan cepu emas.  Tiada kaitan dengan bidang profesional anda. Oleh itu, setelah anda mendapat surat pemberitahuan temuduga, update pengetahuan anda tentang isu semasa. Rajinkan diri baca surat khabar dan baca berita.

Disini saya dedahkan soalan popular temuduga samada kerajaan atau swasta namun saya ingatkan pada anda, soalan-soalan ini tidak semestinya akan ditanya kerana ia bergantung kepada penemuduga juga. Kadangkala apabila anda menjawab sesuatu soalan, mereka akan mengaitkan jawapan anda kepada soalan lain.

Soalan temuduga berbentuk :

~ Soalan asas seperti nama, tahap pendidikan dan sebagainya.
~ Soalan mengenai karakter dan sifat anda.
~ Soalan bidang kerjaya
~ Soalan uji minda dan pengetahuan am


1. Soalan pertama yang akan ditanya adalah siapa anda. Perkenalkan diri anda. Biasanya penemuduga akan minta anda jawab soalan ini dalam bahasa Inggeris. Usahakan belajar untuk memperkenalkan diri dalam bahasa Inggeris. Jika anda mampu berbahasa Inggeris dengan baik, ia adalah satu kelebihan buat anda. Terangkan siapa nama anda, asal kampung/ daerah, tahap pendidikan. Sedikit latar belakang keluarga contohnya bilangan adik beradik. Huraikan secara ringkas sahaja. Elakkan huraian yang panjang dan berjela-jela.

2. Kelebihan serta kekurangan diri anda. Saya tak akan ulas lebih lanjut mengenai soalan ini kerana setiap individu mempunyai personaliti berbeza. Memberi penerangan mengenai keistimewaan anda mungkin lebih mudah. Jangan jawab pada penemuduga anda tiada kekurangan. Hal ini mustahil kerana tiada manusia yang sempurna. Cari kekurangan diri yang anda boleh terangkan bagaimana anda menangani kekurangan ini.

3. Adakah anda sanggup bekerja lebih masa ?

4. Adakah anda sanggup dihantar jauh dari keluarga atau pedalaman untuk bekerja ?

~ Meskipun anda rasa tak sanggup, pastikan anda jawab YA untuk soalan 3 dan 4.

5. Pastikan anda ulangkaji sedikit mengenai negara malaysia contohnya, jata negara, jalur bendera, susunan menteri-menteri kita, perdana menteri 2015 serta timbalan dan fakta-fakta penting sejarah.

6. Bidang yang anda sedang ditemuduga ;

Contoh, KERANI : Anda mendapat surat temuduga kerani, kenali siapa 'bos' anda. Hafal carta organisasi terkini kementerian pelajaran. Ini penting kerana silap-silap anda tak kenal salah seorang bos anda rupa-rupanya adalah salah seorang penemuduga. Malu tak ? Ho ho...

Lebih baik jika anda tahu serba sedikit mengenai skop kerja anda. Anda mungkin ditanya kenapa anda memilih kerani sebagai bidang pekerjaan.

Namun ada soalan diluar jangkaan kita dan kita tak tahu pun apa jawapannya. Anda perlu jujur yang anda tidak tahu jawapannya tapi akan berusaha untuk mencari jawapannya nanti

Sesi temuduga ini biasanya berlangsung selama 10 hingga 20 minit. Bergantung kepada anda bagaimana anda menjawab soalan. Lebih banyak anda boleh jawab, lebih banyak masa yang diambil.

7. Kenapa anda rasa anda layak untuk jawatan ini ?

Jawapan yang saya boleh cadangkan untuk anda adalah 3 perkara ini ;  Iaitu boleh melakukan pekerjaan dengan baik, memberikan hasil kerja yang memuaskan dan boleh bekerja secara berpasukan.

Bagaimana ? Adakah soalan ini sedikit sebanyak membantu anda, soalan dibawah merupakan tambahan soalan-soalan popular. Saya tidak menyediakan jawapannya. Anggaplah ia satu assigment untuk anda ulangkaji sebelum menghadiri temuduga ^_^

8. Apa cabaran terbesar yang anda pernah hadapi dan bagaimana anda menanganinya ?

9. Di mana anda 5 tahun / 10 tahun dari sekarang ? 

10. Bagaimana anda menangani stress / tekanan di tempat kerja ?

11. Kenapa anda meninggalkan pekerjaan sebelum ini ? (Bagi mereka yang bekerja di swasta)

Tips Dari Penulis : Jangan lupa minta berkat dari ibu ayah sebelum menghadiri sesi temuduga. Tanam niat yang baik untuk dapat pekerjaan. Anda pasti akan beroleh hasil yang baik.

Lakukan dengan baik dan usahakan 100% kerana peluang macam ini bukan selalu ada. kenalah bijak merebut peluang. Anda tidak akan gentar dan kosong jika anda telah bersedia.

~ Penulis mengucapkan selamat berjaya buat anda yang bakal menghadiri sesi temuduga kerja kerajaan.






No comments :

Post a Comment

Pesanan Editor ^_^

Sebarang komen yang berbaur spam, mengandungi link hidup / mati serta tujuan promosi dan pengiklanan tidak akan diterbitkan. Jika berminat untuk beriklan, mohon baca ruangan advertorial.